Buku Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi ini ditulis oleh Prof Madya Dr Normaliza Abd Rahim dan diterbitkan di Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Nerus pada tahun 2019. Buku ini mengandungi tujuh bab iaitu Kajian wacana, Teori dan pendekatan wacana, Analisis wacana tekstual dan ujaran, strategi komunikasi, Taksonomi dan pendekatan strategi komunikasi, Analisis strategi komunikasi dalam kalangan kanak-kanak dan Cadangan kajian akan datang. Bab satu iaitu kajian wacana menerangkan tentang definisi wacana menurut pandangan wacana daripada beberapa pakar falsafah yang mengkaji bahagian wacana dan beberapa sumber lain seperti Kamus Dewan. Penulis juga menyatakan bahawa wacana dapat dilihat dalam bentuk lisan dan tulisan seperti teks, tulisan, ujaran dan interaksi yang membolehkan ujaran difahami dengan lebih mudah. Penulis juga ada menyatakan bahawa wacana terletak pada hierarki bahasa yang tertinggi iaitu selepas tingkat ayat. Dalam bab dua pula penulis membincangkan tentang teori dan pendekatan wacana. Terdapat lima teori dan pendekatan yang dikemukakan iaitu Teori Analisis Wacana Brown & Yule (1983), Teori Analisis Wacana Stubbs (1983), Teori Analisis Wacana Kritis (Vandijik.1977), Pendekatan Analisis Wacana Normaliza Abd Rahim (2018b), dan Teori Analisis Wacana (Normaliza And Rahim,2018d). Teori yang dikemukakan digunapakai dalam memastikan huraian dan analisis data dapat diproses dengan mudah. Selain itu, Bab tiga (Analisis wacana tesktual dan ujaran) berkaitan tiga kajian wacana dalam tekstual dalam lirik lagu, wacana tekstual cerita sosial dan ujaran dalam kalangan kanak-kanak autisme.
Seterusnya, Strategi komunikasi dalam bab empat menerangkan tentang pengenalan strategi komunikasi yang merangkumi beberapa kajian oleh pakar falsafah yang mengkaji bahagian strategi komunikasi yang mempunyai perkaitan dengan sesuatu ujaran dan interaksi. Bab lima iaitu Taksonomi dan pendekatan strategi komunikasi membincangkan tentang beberapa taksonomi dan pendekatan yang telah diwujudkan oleh beberapa orang tokoh yang dihurai dengan lebih terperinci. Bab enam dalam buku ini bertajuk Analisis Strategi Komunikasi dalam Kalangan Kanak-kanak. Dalam bab ini penulis membincangkan tentang kajian strategik komunikasi dalam kalangan kanak-kanak. Akhir sekali, bab tujuh dalam buku ini akan membincangkan tentang cadangan kajian akan datang supaya dapat memenuhi kehendak pembaca pada masa akan datang. Kesimpulannya, implikasi penggunaan buku ini terhadap kita adalah dapat mendedahkan kita tentang kajian wacana dan strategi komunikasi serta dapat memberi ilmu pengetahuan tentang teori dan aplikasinya.
Rujukan : Normaliza Abd Rahim. 2019. Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi. Penerbit: UMT
No comments:
Post a Comment